test

Katering SJB Easy Recipe Movie List Lil' IMAN LIL' AMIN Other Biz

5 Latest Entries

Friday, 19 May 2017

Cerita keistimewaan Saidatina Aishah R.A

hi there,

bercerita lagi mengenai wanita hebat di zaman rasulullah ... kali ni cerita tentang keistimewaan Saidatina Aishah RA ...

jom hayati keistimewaan wanita hebat ini T_T

adakah kita mampu menjadi cahaya indah untuk penghuni langit dan bumi?


Rasulullah s.a.w pernah bersabda;
“Kelebihan Aisyah ke atas wanita lain adalah seperti lebihnya ats-Tsarid (sejenis makanan yang lebih banyak manfaat dan disukai Baginda s.a.w) berbanding makanan yang lain.”Hadis Riwayat Bukhari
Beruntungnya Aisyah r.a ini, sehinggakan Rasulullah s.a.w sering memujinya. Aisyah atau Saidatina Aisyah binti Abu Bakar merupakan salah seorang Ummul Mukminin, isteri Nabi s.a.w juga puteri as-Siddiq yang sangat berjasa kepada umat Islam.
Beliau adalah tokoh wanita Muslimah yang sangat dikagumi dan dihormati disebabkan peranan yang dimainkan pada zamannya dahulu sehingga mekar harum namanya sepanjang zaman.
Apakah jasa yang telah dicurahkan oleh Aisyah? Mengapa Rasulullah s.a.w lebih menyayangi dan menyenanginya?
Berikut dikongsikan beberapa fakta menarik dan keistimewaan mengenai keperibadian Aisyah r.an, tokoh srikandi Islam ini.

#1 – Keilmuan Yang Tinggi

Saidatina Aisyah r.anhu dikenali sebagai wanita yang mempunyai keilmuan yang tinggi dalam bidang fekah, faraid, tafsir dan hadis. Bahkan, Urwah bin az-Zubir pernah mengatakan;
“Tiada seorang yang lebih alim tentang halal dan haram, ilmu, syair dan perubatan melainkan Aisyah Ummul Mukminin.”

#2 – Menjadi Tempat Rujukan Para Sahabat Nabi S.A.W

Abu Musa al-Asy’ari pernah berkata;
“Tidaklah terjadi satu kemusykilan ke atas kami sahabat-sahabat Nabi s.a.w pada suatu hadis, maka kami bertanya tentangnya kepada Aisyah r.a, melainkan kami akan mendapat daripada Aisyah ilmu tentangnya.”

#3 – Isteri Yang Paling Utama Di sisi Rasulullah S.A.W

Selain Khadijah, Aisyah r.a adalah isteri yang paling utama di sisi Rasulullah s.a.w. Keduanya mempunyai kelebihan dan keistimewaan tersendiri.

#4 – Latarbelakang Keluarga Yang Kuat Agama

Menjadi puteri kepada Abu Bakar as-Siddiq sudah cukup menaikkan martabatnya, apatah lagi menjadi isteri kepada Rasul sekalian alam; Baginda s.a.w. Ibunya bernama Ummu Ruman binti ‘Amir; seorang isteri yang mulia, ibu yang baik dan bijak.
Saudara lelakinya bernama Abdul Rahman bin Abu Bakar dan saudara perempuannya, Asma’ yang mendapat gelaran Zatu an-Nithaqain (wanita dengan dua tali). Mereka amat komited dalam memperjuangkan agama Islam.

#5 – Tempat Kelahiran

Saidatina Aisyah r.a lahir di Mekah al-Mukarramah, tempat yang penuh keberkatan.

#6 – Mendapat Didikan Secara Langsung Daripada Rasulullah S.A.W

Selain menjadi permaisuri hati Baginda s.a.w, Aisyah r.a juga turut mempelajari adab mahupun akhlak serta ilmu lain secara langsung daripada Rasulullah s.a.w yang mendapat didikan secara terus oleh Allah s.w.t.

#7 – Perkahwinan Yang Diberkati

Aisyah dilamar oleh Rasulullah s.a.w ketika usianya masih muda dan majlis perkahwinannya berlangsung pada bulan Syawal, tahun kedua Hijrah.
Bahkan, Rasulullah s.a.w tidak berkahwin dengan gadis kecuali hanya dengan Aisyah. Perkahwinan ini juga adalah kerana wahyu daripada Allah s.w.t. Diriwayatkan bahawa Rasulullah s.a.w bersabda kepada Aisyah;
“Aku bermimpi melihatmu selama tiga hari berturut-turut. Malaikat datang kepadaku dengan membawa gambaranmu di dalam balutan sehelai kain sutera. Malaikat berkata, ‘Inilah gambaran isterimu.’ Aku pun membuka kain sutera yang menutupi wajahmu itu, ternyata itu adalah engkau. Maka, aku katakan, ‘Jika memang ini daripada Allah, nescaya Allah melaksanakannya’.”Hadis Riwayat Muslim

#8 – Menjadi Pembantu Rasulullah S.A.W

Selain menjadi seorang isteri kepada seorang Rasul, secara tidak langsung Aisyah r.a turut menjadi pembantu Baginda dalam menyebarkan risalah Allah s.w.t dan dakwah Islam.

#9 – Periwayat Hadis Rasulullah S.A.W

Jasa Aisyah r.a kepada umat terlalu banyak, antaranya banyak meriwayatkan hadis daripada Rasulullah s.a.w.

#10 – Wahyu Turun Ketika Bersama Aisyah

Tidak ada wahyu yang turun kepada Rasulullah s.a.w ketika Baginda berselimut dengan wanita, melainkan hanya dengan Aisyah r.a. Baginda bersabda kepada Ummu Salamah;
“Jangan sakiti aku dengan mengusiknya (kerana menyakitinya sama seperti menyakitiku). Sesungguhnya, wahyu tidak datang kepadaku sewaktu aku berada di bawah satu selimut dengan seorang wanita pun dalam kalangan isteriku, kecuali ketika bersama Aisyah.”Hadis Riwayat Bukhari

#11 – Rasulullah S.A.W Wafat Di Sisi Aisyah

Kata Aisyah r.a;
“Rasulullah s.a.w wafat di rumahku pada hari dan malam giliranku. Kepalanya diletakkan di atas paru-paru dan bahagian atas dadaku.”
Bahkan sebelum wafat, Rasulullah s.a.w turut berkongsi kayu sugi yang telah digunakan oleh Aisyah r.a, sehinggakan Aisyah berkata;
“Segala puji bagi Allah yang telah menyatukan air liurku dengan air liur Baginda pada detik-detik terakhir kehidupan dunia Baginda.”
Begitulah antara beberapa keistimewaan dan kelebihan yang dimiliki oleh Saidatina Aisyah r.a.
Kehalusan budi pekerti, akhlak mulia, tutur katanya yang penuh kesopanan ketika berdepan dengan suami tercinta menambahkan lagi bibit-bibit romantik dan kecintaan dalam hati Baginda Rasulullah s.a.w kepadanya.
Tidak mustahil jika Aisyah lebih dicintai berbanding yang lain. Moga keperibadian yang dimiliki oleh Aisyah ini dapat dicontohi oleh kaum wanita pada masa kini. Wallahua’lam.

sumber : di sini

cheers


1 comment:

Sedang Berlangsung

Sedang Berlangsung
Sponsor Bersama
Design By Sis Hawa | Copyright Reserved By Mrs Pip 2017